Ketika di pelawa untuk menyertai bengkel Umbara Sastera III dan Bengkel Cerpen PEN 2009, saya teruja kerana tidak pernah seumur hidup menyertai bengkel sebegini. Namun, apabila menghadapi pelbagai masalah untuk menyiapkan cerpen yang akan dibincangkan di bengkel, semangat saya semakin pudar. Apatah lagi apabila membayangkan keterbatasan diri untuk bergerak dan tiada pengalaman yang dapat dijadikan panduan semasa di bengkel nanti, saya semakin teragak-agak untuk menghadirkan diri. Namun, saya amat berterima kasih kepada Puan Zalila yang begitu bersungguh-sungguh melonjakkan semula semangat saya sehingga akhirnya berjaya menyiapkan cerpen di saat-saat terakhir.
14 November 2009

Hujan renyai-renyai menyambut kedatangan kami ke dewan D’Ark, Taman Sri Kasih, Senawang. Sejujurnya, perasaan rendah diri begitu tebal di saat melangkah masuk ke dalam dewan. Namun, perasaan gentar hilang sedikit demi sedikit apabila salam yang dihulur disambut mesra oleh para peserta.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan bacaan doa. Seterusnya ucapan daripada Puan Mahaya Mohd Yassin, Ketua Satu PEN. Menyusul kemudian ialah Sesi I:Umbara Sastera III (“Penulisan Sastera Islam”) yang dijalankan oleh Puan Nisah Haron, Encik Amiza Khusyri dan Puan Syarifah Salha. Ternyata penerangan mengenai proses kreatif yang dilalui oleh setiap penulis untuk menghasilkan novel masing-masing sangat membantu saya untuk memahami proses penulisan bermula dari inspirasi dan cetusan idea sehinggalah kepada proses penggarapan cerpen.
Sesi II iaitu Bengkel Cerpen PEN merupakan sesi yang amat ditunggu-tunggu. Bertemakan “Swadaya dan Kritikan Karya”, bengkel ini dibimbing oleh Puan Nisah Haron dan Encik Amiza Khusyri. Sesungguhnya, mendengarkan tema sesi ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan saya semakin gugup. Mungkin kerana kurang memahami erti tema dan juga mungkin kerana sudah terlalu lama tidak menghadiri perjumpaan umum seperti ini.
Tatkala di minta memberikan komen yang pertama, saya terasa lidah terlalu kaku. Mungkin kerana tidak pasti apa yang perlu diucapkan, atau mungkin kerana keadaan yang agak sejuk membuatkan suara terketar-ketar memulakan kata. Pengalaman yang cetek menyebabkan saya tidak mampu untuk memberi komen-komen yang membina, tetapi saya gembira kerana berpeluang melibatkan diri. malah sesi sebegini dapat membantu untuk meningkatkan keyakinan diri.
Sesi yang dijalankan secara santai membuatkan saya semakin selesa dan semakin teruja. Satu demi satu cerpen dibedah dan dibincangkan dengan menarik. Setiap komen dan cadangan yang diberikan oleh para pembimbing dan peserta banyak membantu menjawab pelbagai persoalan yang saya hadapi dalam menghasilkan sebuah cerpen. Apatah lagi saya berpeluang memperkatakan sesuatu tentang cerpen sulung saya dan pada masa yang sama menerima komen-komen yang membina.
Di akhir sesi ini, kami diminta untuk memberikan pendapat terakhir setelah hampir sehari di bengkel ini. Setulus hati, saya berasa amat terharu kerana tidak pernah terbayang saya berpeluang untuk menghadirkan diri di kalangan mereka yang memperjuangkan keindahan sastera. Mungkin kerana sudah terlalu lama tiada hala tuju yang tepat, peluang melibatkan diri dalam penulisan cerpen bagai memberi satu sinar baru buat saya.
Sudah pasti penghargaan paling utama ditujukan buat Puan Zalila, yang tidak jemu-jemu memberikan perangsang. Terima kasih buat Puan Mahaya, Puan Nisah Haron, Puan Syarifah Salha, Encik Amiza Khusyri, Cik Faezah Herda, dan semua peserta yang hadir, kerana telah memberikan satu pengalaman yang terlalu bernilai buat
*Kredit gambar buat Zalila Isa

Posted by Bayan on November 18, 2009 at 4:19 pm
Semoga bermanfaat.
Kami ada di sisi anda.
Posted by Berbengkel Sehingga Ke Hujung Nyawa! « Psittacula Alexandri on November 18, 2009 at 4:25 pm
[...] Ani Izzuani [...]