KEM PENULIS MUDA

“Untuk menjadi seorang penulis yang baik, jadilah seorang pembaca yang baik terlebih dahulu.”

Itulah di antara amanat yang diberikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, di dalam ucapan perasmian Kem Penulis Muda anjuran ILuvIslam.com pada 2 Mei 2010. Beliau sangat menggalakkan para peserta untuk mendalami bidang penulisan dan berusaha bersungguh-sungguh di dalam apa jua yang dilakukan kerana tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Datuk Hussamuddin turut berkongsi pengalaman keperitan hidup beliau sejak kecil, supaya dapat dijadikan iktibar oleh peserta sebagai pembakar semangat untuk terus maju.

Slot pertama iaitu Kaedah Penulisan Berita, disampaikan oleh Encik Nordin Mohamed, Ketua Pengarang Sinar Harian. Bermula dengan ungkapan, ‘Berita adalah cerita’, beliau telah membawa peserta menyusuri skop tugas dan kemahiran yang perlu ada pada seorang wartawan. Panduan menulis berita diberikan secara ringkas tetapi sarat dengan tips-tips yang dapat membantu para peserta. Semasa mengulas tentang etika kewartawanan, beliau turut menyelitkan beberapa potong ayat dari surah Al-Hujurat:

Wahai orang-orang yang beriman!Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukuman atau kebenaran) Allah dan RasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Ayat 1)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan sesuatu yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan. (Ayat 6)

Slot kedua diteruskan oleh Cik Darina Osman, Editor Rencana Sinar Harian, berkaitan Kaedah Penulisan Rencana. Peserta telah didedahkan dengan pelbagai jenis rencana yang boleh ditulis, misalnya, rencana profil, latar belakang, pendapat, ulasan dan banyak lagi. Cik darina turut memberi penerangan ringkas untuk merangka rencana; bagaimana untuk membuat pendahuluan dan penutup yang menarik, dan juga bahagian isi yang perlu saling bertautan.

Kaedah Penulisan Novel, oleh novelis terkenal, Puan Sri Diah, mengisi slot terakhir untuk Kem Penulis Muda. Pengurus Besar Oasis buku ini memulakan sesi dengan cara yang sangat santai dan menarik. Sekadar mendengar setiap patah perkataan yang diucapkan telah cukup menaikkan semangat para peserta untuk teus terpaku di tempat duduk masing-masing.

“Semua orang boleh menulis novel!” tegas Puan Sri Diah. Biarpun belajar di aliran sains semasa di bangku persekolahan, minat yang mendalam telah mendorong beliau untuk memilih bidang ini. Beliau turut menerapkan semangat sentiasa berfikiran positif, bercita-cita tinggi dan sentiasa ingin belajar bagi mereka yang ingin mendalami dunia penulisan. Hati juga terkesan mendengarkan pengalaman beliau berguru dengan SN Shahnon Ahmad semasa menuntut di universiti dahulu. Para peserta cukup bertuah dapat mendengar pelbagai pengalaman menarik yang telah dilalui oleh Puan Sri Diah untuk merealisasikan impiannya menjadi seorang penulis yang mapan. Di penghujung sesi, beliau menerangkan teknik peta minda yang boleh diamalkan  sebelum mula menulis novel. Teknik ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas dan seterusnya membantu mengelakkan kekeliruan semasa proses menulis.

Tahniah diucapkan kepada Presiden ILuvIslam.com, saudara Mohd Nurul Imran Koyube, Pengarah Program, Ustaz Muhammad Rashidi Abdul Wahab dan kepada semua krew ILuVIslam.com yang telah menjayakan program ini. Terima kasih tidak terhingga juga buat ketiga-tiga penceramah yang sudi berkongsi ilmu bersama para peserta.

Semoga ILuvIslam.com sudi mengadakan lagi program bermanfaat seperti ini. Cuma diharapkan untuk program seterusnya, masa yang diperuntukan bagi setiap sesi dapat ditambah, ataupun hanya menumpukan kepada satu cabang penulisan sahaja pada satu-satu masa. Dengan ini, penceramah dan peserta dapat berbincang dengan lebih mendalam lagi.

Para peserta bersama Puan Sri Diah

Sumber gambar: ILuvIslam.com

Tinggalkan komen