Archive for the ‘KEMBARA’ Category

Jalan-jalan, cari cerita

Cerita ini berlaku pada hari Ahad yang lalu…

 

Cerita pertama:

Perjalanan yang tidak dirancang ini membuatkan adrenalin saya naik mencanak-canak! Bukan kerana pening untuk memilih pakaian yang harus dipakai (mungkin juga ada sedikit pengaruhnya), tetapi kerana keterujaan untuk berbincang tentang peluang yang datang secara tiba-tiba. Peluang yang tidak mampu dilepaskan oleh penulis mentah seperti saya. Peluang untuk mengembangkan bakat yang mungkin ada. Terima kasih Kak Bayan.

 

Cerita kedua:

Pertemuan di Universiti Malaya(UM). Sepuluh tahun yang lalu saya hadir ke UM untuk bertemu teman-teman yang sedang mengikuti kursus persediaan ke Jepun. Hari ini saya ingin bertemu dengan teman yang baharu pula. Pertemuan di ruang makan berdekatan Bangunan Peperiksaan.

 

Cerita ketiga:

Teman baharu saya. Seseorang yang aktif menulis blog dan berkarya. Seseorang yang mempunyai ketabahan yang luar biasa. Seseorang yang memasuki senarai sumber inspirasi buat saya. Kak Water Lily, semoga diberikan kesihatan yang terbaik buat kamu.

 

Cerita keempat:

Bertemu Kak Norziati yang sentiasa tenang dan menyenangkan di kedai makan yang sering disebut-sebut oleh Kak Bayan, kerana  minuman istimewanya, ice-blended limau nipis (jika tidak silap begitulah namanya). Ya, kesedapan minuman ini tidak boleh disangkal lagi (walaupun hanya dengan satu sedutan). Mungkin di kunjungan seterusnya saya perlu cuba lebih lagi.

 

Cerita kelima:

Buku baharu saya. Tiga  Kali Seminggu hasil karya terbaru Dr. Faisal Tehrani. Terima kasih Kak Bayan atas pemberiannya.

 

Cerita di sepanjang perjalanan:

Perjalanan bersama-sama Kak Bayan tidak pernah sunyi dari cerita. Bermacam-macam perkara kami bualkan. Bukan tentang kisah dunia seperti pendedahan Wikileaks atau situasi tegang di antara Korea Utara dan Korea Selatan. Hanya cerita biasa seputar dunia biasa kami. Cerita-cerita yang pelbagai rasa. Rasa yang manis untuk dikenang-kenang. Rasa yang pahit  dijadikan pengajaran. Rasa masin dan masam sebagai pelengkap kehidupan.

 

Semoga bertemu lagi di perjalanan yang baharu pula.

Advertisements

BENGKEL ASAS PENULISAN CERPEN PEN

Asas binaan yang kukuh sangat penting dalam pembinaan sesebuah bangunan. Pengetahuan asas membaca, mengira dan menulis, juga perlu dikuasai oleh kanak-kanak pra-sekolah sebelum memulakan alam persekolahan yang sebenar. Begitu juga dalam penulisan sesebuah cerpen, novel, rencana, berita dan apa sahaja bentuk penulisan, setiap penulis perlu menghadami asas penulisan yang mantap sebelum meneruskan langkah lebih jauh lagi.

Apa yang saya inginkan dari bengkel ini? Saya ingin mempelajari teknik menulis cerpen secara menyeluruh dan berharap akan menemui jawapan kepada pelbagai persoalan yang muncul setiap kali cuba menghasilkan cerpen. Tema, watak, latar, plot dan lain-lain perkara seringkali menimbulkan kekeliruan. Sudah lama saya menanti-nantikan bengkel seperti ini, Alhamdulillah akhirnya bertemu jua.

Pendekatan Puan Nisah Haron yang santai dan bersahaja sememangnya menjadi kekuatan kepada bengkel tersebut. Menariknya, ruang untuk bertanya sentiasa terbuka, tidak kira dimana, atau apa persoalannya, semuanya diterima dan dihuraikan oleh penceramah.

Bengkel cerpen intensif yang menyusul kemudian berpeluang ‘membedah’ dua buah cerpen. Kekuatan dan kelemahan setiap cerita digali dan dibincangkan secara mendalam. Proses ini amat penting kerana setiap kritikan yang diberikan akan membantu penulis untuk meningkatkan kemahiran penulisan masing-masing.

KEM PENULIS MUDA

“Untuk menjadi seorang penulis yang baik, jadilah seorang pembaca yang baik terlebih dahulu.”

Itulah di antara amanat yang diberikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, di dalam ucapan perasmian Kem Penulis Muda anjuran ILuvIslam.com pada 2 Mei 2010. Beliau sangat menggalakkan para peserta untuk mendalami bidang penulisan dan berusaha bersungguh-sungguh di dalam apa jua yang dilakukan kerana tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Datuk Hussamuddin turut berkongsi pengalaman keperitan hidup beliau sejak kecil, supaya dapat dijadikan iktibar oleh peserta sebagai pembakar semangat untuk terus maju.

Slot pertama iaitu Kaedah Penulisan Berita, disampaikan oleh Encik Nordin Mohamed, Ketua Pengarang Sinar Harian. Bermula dengan ungkapan, ‘Berita adalah cerita’, beliau telah membawa peserta menyusuri skop tugas dan kemahiran yang perlu ada pada seorang wartawan. Panduan menulis berita diberikan secara ringkas tetapi sarat dengan tips-tips yang dapat membantu para peserta. Semasa mengulas tentang etika kewartawanan, beliau turut menyelitkan beberapa potong ayat dari surah Al-Hujurat:

Wahai orang-orang yang beriman!Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukuman atau kebenaran) Allah dan RasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Ayat 1)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan sesuatu yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan. (Ayat 6)

Slot kedua diteruskan oleh Cik Darina Osman, Editor Rencana Sinar Harian, berkaitan Kaedah Penulisan Rencana. Peserta telah didedahkan dengan pelbagai jenis rencana yang boleh ditulis, misalnya, rencana profil, latar belakang, pendapat, ulasan dan banyak lagi. Cik darina turut memberi penerangan ringkas untuk merangka rencana; bagaimana untuk membuat pendahuluan dan penutup yang menarik, dan juga bahagian isi yang perlu saling bertautan.

Kaedah Penulisan Novel, oleh novelis terkenal, Puan Sri Diah, mengisi slot terakhir untuk Kem Penulis Muda. Pengurus Besar Oasis buku ini memulakan sesi dengan cara yang sangat santai dan menarik. Sekadar mendengar setiap patah perkataan yang diucapkan telah cukup menaikkan semangat para peserta untuk teus terpaku di tempat duduk masing-masing.

“Semua orang boleh menulis novel!” tegas Puan Sri Diah. Biarpun belajar di aliran sains semasa di bangku persekolahan, minat yang mendalam telah mendorong beliau untuk memilih bidang ini. Beliau turut menerapkan semangat sentiasa berfikiran positif, bercita-cita tinggi dan sentiasa ingin belajar bagi mereka yang ingin mendalami dunia penulisan. Hati juga terkesan mendengarkan pengalaman beliau berguru dengan SN Shahnon Ahmad semasa menuntut di universiti dahulu. Para peserta cukup bertuah dapat mendengar pelbagai pengalaman menarik yang telah dilalui oleh Puan Sri Diah untuk merealisasikan impiannya menjadi seorang penulis yang mapan. Di penghujung sesi, beliau menerangkan teknik peta minda yang boleh diamalkan  sebelum mula menulis novel. Teknik ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas dan seterusnya membantu mengelakkan kekeliruan semasa proses menulis.

Tahniah diucapkan kepada Presiden ILuvIslam.com, saudara Mohd Nurul Imran Koyube, Pengarah Program, Ustaz Muhammad Rashidi Abdul Wahab dan kepada semua krew ILuVIslam.com yang telah menjayakan program ini. Terima kasih tidak terhingga juga buat ketiga-tiga penceramah yang sudi berkongsi ilmu bersama para peserta.

Semoga ILuvIslam.com sudi mengadakan lagi program bermanfaat seperti ini. Cuma diharapkan untuk program seterusnya, masa yang diperuntukan bagi setiap sesi dapat ditambah, ataupun hanya menumpukan kepada satu cabang penulisan sahaja pada satu-satu masa. Dengan ini, penceramah dan peserta dapat berbincang dengan lebih mendalam lagi.

Para peserta bersama Puan Sri Diah

Sumber gambar: ILuvIslam.com

PUCUK DICITA ULAM MENDATANG

Undangan kakak saudara untuk menemaninya ke Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke-18 di Hotel Legend, Kuala Lumpur, saya terima dengan perasaan bercampur-baur. Pertamanya, sudah tentu teruja kerana tidak pernah menyangka berpeluang ke majlis seperti ini,dan keduanya berasa sedikit was-was kerana merasakan keterbatasan diri akan merumitkan situasi di sana nanti. Namun, merasakan peluang seperti ini hadir hanya sekali, saya tekad untuk menghadirkan diri.

Hujan lebat yang turun mencurah-curah lebih kurang satu jam sebelum waktu bertolak menerbitkan kegundahan yang menggunung. Lebih-lebih lagi apabila

Juadah yang memikat rasa

mengenangkan dua perkara yang amat sinonim dengan hujan lebat di Kuala Lumpur ini; pertama, kesesakan lalu lintas dan kedua, banjir.  Walaupun begitu, kesyukuran dipanjatkan kepada-Nya kerana tatkala kaki melangkah keluar dari rumah, hanya gerimis sahaja yang yang masih tegar membasahi bumi.

Mujur keadaan lalu lintas berjalan lancar. Namun, puas juga kami berputar-putar mencari parkir kereta, tetapi akhirnya kami dapat bernafas lega sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam dewan. Setelah ketibaan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, hidangan malam dihidangkan. Kami menjamu selera sambil diiringi dendangan merdu lagu-lagu tradisional  oleh Roslan Madun dan seorang penyanyi wanita dan juga tiupan seruling oleh Mohar dari kumpulan MOHRAM. Hidangan yang enak ditambah pula dengan nyanyian lagu asli yang menggamit halwa telinga membuatkan kami lebih berselera.

Berkongsi kegembiraan bersama-sama Puan Nisah Haron

Di celah-celah hadirin yang memenuhi ruang dewan itu, saya teruja apabila pandangan tertumpah pada figura yang saya minati iaitu Prof. Madya Dr.Lim Swee Tin, sementelah kala ini saya sedang membaca karya beliau yang bertajuk ‘Mendekati Seni Penulisan Kreatif’.  Perasaan bertambah teruja melihat penulis-penulis terkenal naik ke pentas seorang demi seorang untuk menerima hadiah di atas hasil karya masing-masing. SN A.Samad Said, Siti Jasmina Ibrahim, Faisal Tehrani dan ramai lagi dapat disaksikan di hadapan mata. Namun, yang paling membanggakan ialah kehadiran dua wanita penggerak PEN iaitu Puan Mahaya dan Puan Nisah Haron yang turut mendapat pengiktirafan di dalam majlis ini. Sesungguhnya kemenangan mereka ibarat api yang menyemarakkan lagi misi kami untuk terus menulis.

Bagi saya, peluang bertemu para penulis yang hebat ini bukan sekadar teruja kerana bertemu penulis terkenal, tetapi lebih kepada keterujaan untuk meminjam semangat mereka yang tidak pernah jemu berusaha mencari ilham untuk menghasilkan karya yang terbaik. Saya turut mengagumi perjuangan mereka untuk berkarya tanpa mengira batasan usia. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang.

Bersama Masliya, penulis berbakat besar

Ole-ole kecil tanda kenangan di HSPM

*Kredit gambar buat Zalila Isa

MEMORI TERINDAH

Bermula satu perjalanan

 

 

Hari persekolahan tahun 2010 sudah bermula semalam. Ingin meminjam semangat adik-adik yang baru sahaja memulakan langkah untuk terus menerokai alam persekolahan yang semakin mencabar.

Pengalaman indah di sekolah rendah akan sentiasa dikenang. Bermain batu seremban dan tali getah sebelum sesi persekolahan bermula, menjamu selera dengan nasi lemak atau mi goreng yang hanya berharga 30 sen, menyertai sukan sekolah dan mendapat hadiah bekas plastik pelbagai warna, memberikan hadiah sekotak tisu sempena Hari Guru kepada guru kelas, didenda oleh cikgu matematik dan mengharungi banjir  di sekolah hanyalah secebis daripada sejuta kenangan yang tercipta di sana.

Terima kasih kepada guru-guru yang telah berjaya mendidik saya. Terima kasih kepada rakan-rakan yang telah mewarnai alam persekolahan saya dengan warna-warna yang ceria.

Buat semua rakan-rakan yang bergelar guru, selamat berjuang. Anda adalah lilin yang sentiasa menyala dan membara!

Sehari di Umbara Sastera III dan Bengkel Penulisan PEN 2009

Ketika di pelawa untuk menyertai bengkel Umbara Sastera III dan Bengkel Cerpen PEN 2009, saya teruja kerana tidak pernah seumur hidup menyertai bengkel sebegini. Namun, apabila menghadapi pelbagai masalah untuk menyiapkan cerpen yang akan dibincangkan di bengkel, semangat saya semakin pudar. Apatah lagi apabila membayangkan keterbatasan diri untuk bergerak dan tiada pengalaman yang dapat dijadikan panduan semasa di bengkel nanti, saya semakin teragak-agak untuk menghadirkan diri. Namun, saya amat berterima kasih kepada Puan Zalila yang begitu bersungguh-sungguh melonjakkan semula semangat saya sehingga akhirnya berjaya menyiapkan cerpen di saat-saat terakhir.

14 November 2009

Hujan renyai-renyai menyambut kedatangan kami ke dewan D’Ark, Taman Sri Kasih, Senawang. Sejujurnya, perasaan rendah diri begitu tebal di saat melangkah masuk ke dalam dewan. Namun, perasaan gentar hilang sedikit demi sedikit apabila salam yang dihulur disambut mesra oleh para peserta.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan bacaan doa. Seterusnya ucapan daripada Puan Mahaya Mohd Yassin, Ketua Satu PEN. Menyusul kemudian ialah Sesi I:Umbara Sastera III (“Penulisan Sastera Islam”) yang dijalankan oleh Puan Nisah Haron, Encik Amiza Khusyri dan Puan Syarifah Salha. Ternyata penerangan mengenai proses kreatif yang dilalui oleh setiap penulis untuk menghasilkan novel masing-masing sangat membantu saya untuk memahami proses penulisan bermula dari inspirasi dan cetusan idea sehinggalah kepada proses penggarapan cerpen.

Sesi II iaitu Bengkel Cerpen PEN merupakan sesi yang amat ditunggu-tunggu. Bertemakan “Swadaya dan Kritikan Karya”, bengkel ini dibimbing oleh Puan Nisah Haron dan Encik Amiza Khusyri. Sesungguhnya, mendengarkan tema sesi ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan saya semakin gugup. Mungkin kerana kurang memahami erti tema dan juga mungkin kerana sudah terlalu lama tidak menghadiri perjumpaan umum seperti ini.

Tatkala di minta memberikan komen yang pertama, saya terasa lidah terlalu kaku. Mungkin kerana tidak pasti apa yang perlu diucapkan, atau mungkin kerana keadaan yang agak sejuk membuatkan suara terketar-ketar memulakan kata. Pengalaman yang cetek menyebabkan saya tidak mampu untuk memberi komen-komen yang membina, tetapi saya gembira kerana berpeluang melibatkan diri. malah sesi sebegini dapat membantu untuk meningkatkan keyakinan diri.

Sesi yang dijalankan secara santai membuatkan saya semakin selesa dan semakin teruja. Satu demi satu cerpen dibedah dan dibincangkan dengan menarik. Setiap komen dan cadangan yang diberikan oleh para pembimbing dan peserta banyak membantu menjawab pelbagai persoalan yang saya hadapi dalam menghasilkan sebuah cerpen. Apatah lagi saya berpeluang memperkatakan sesuatu tentang cerpen sulung saya dan pada masa yang sama menerima komen-komen yang membina.

Di akhir sesi ini, kami diminta untuk memberikan pendapat terakhir setelah hampir sehari di bengkel ini. Setulus hati, saya berasa amat terharu kerana tidak pernah terbayang saya berpeluang untuk menghadirkan diri di kalangan mereka yang memperjuangkan keindahan sastera. Mungkin kerana sudah terlalu lama tiada hala tuju yang tepat, peluang melibatkan diri dalam penulisan cerpen bagai memberi satu sinar baru buat saya.

Sudah pasti penghargaan paling utama ditujukan buat Puan Zalila, yang tidak jemu-jemu memberikan perangsang. Terima kasih buat Puan Mahaya, Puan Nisah Haron, Puan Syarifah Salha, Encik Amiza Khusyri, Cik Faezah Herda, dan semua peserta yang hadir, kerana telah memberikan satu pengalaman yang terlalu bernilai buat

*Kredit gambar buat Zalila Isa