Archive for the ‘SANTAI’ Category

LASKAR PELANGI

Ada apa dengan Laskar Pelangi? Filem yang diadaptasi daripada novel hasil karya penulis Indonesia yang terkenal, Andrea Hirata ini, memaparkan kisah anak-anak miskin di desa Belitong, yang berjuang untuk mengutip ilmu.

Kemiskinan hidup hingga membuatkan anak-anak tercicir dari persekolahan adalah satu realiti, bukan hanya di dalam filem. Malah di Malaysia, masih ramai lagi yang tidak berpeluang menimba ilmu. Ada yang perlu keluar rumah seawal jam 5 pagi untuk menaiki keretapi untuk ke sekolah,  bergadai nyawa menaiki sampan dan menghadapi pelbagai kesukaran lagi. Moga-moga ketabahan mereka ini akan dibayar dengan kecemerlangan di dalam pelajaran.

Laskar Pelangi mewakili anak-anak yang gigih, mengayuh basikal berbatu-batu jauhnya, perlu pula menunggu buaya melintas sebelum dapat meneruskan perjalanan (bahagian yang saya fikir sangat menarik), tidak berkasut, peralatan menulis setakat apa yang ada sahaja, dan kapur menulis pula mujur diberi secara percuma oleh pekedai di pekan. Sekolah mereka, Sekolah Rendah Muhammdiyah sudah uzur (perlu ditahan dengan kayu balak supaya tidak roboh), banjir apabila  hujan lebat (turut menjadi tempat perlindungan kambing), dan persekitaran pembelajaran mereka terlalu sederhana.

Filem ini sarat dengan pengajaran. Lihat sahaja pengorbanan Lintang terhadap keluarganya, juga pengorbanan Ibu Mus untuk terus mengajar di situ (walaupun mendapat tawaran mengajar di tempat yang jauh lebih baik) dan tekad Pak Harfan untuk mempertahankan sekolah itu. Begitu juga dengan semangat setiakawan dan saling mendorong antara satu sama lain telah menyaksikan kejayaan yang dikecapi oleh anak-anak ini, walaupun sering dipandang sinis oleh orang lain.

Tidak perlu aksi lasak dan ganas, motor atau kereta yang besar-besar,  rumah yang tersergam indah bak istana, pakaian yang berjenama,  dan juga pelakon wanita yang menggoda. Itu semua tidak perlu ada, kerana Laskar Pelangi  penuh dengan kesederhanaan yang mampu memberi impak yang besar terhadap penontonnya.  Semoga lebih banyak filem seperti ini akan dihasilkan.

Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya-LASKAR PELANGI

Ranjau Sepanjang Jalan

Kali pertama saya membaca karya nukilan sasterawan negara Shahnon Ahmad ini ialah pada tahun 2000. Itu pun kerana ia adalah salah satu naskhah sastera yang perlu  dipelajari semasa pengajian di kolej. Namun, selepas dipelajari dengan lebih mendalam, ternyata karya ini sungguh menarik. Walaupun ia diakhiri dengan kepedihan, namun semangat keluarga Lahuma dan Jeha, yang bergantung hidup pada sawah padi, sangat memberi kesan.

Peluang untuk mengadakan pementasan Ranjau Sepanjang Jalan bersama teman-teman di kolej memberikan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Tidak sangka teman-teman mempunyai bakat terpendam sebagai pelakon. Baik dari watak besar seperti Lahuma, Jeha, Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah sehingga watak sampingan seperti tuan doktor dan ketua kampung, masing-masing berjaya membawakannya dengan baik.

Tidak lupa juga penghargaan buat Puan Azizah yang memberi inspirasi kepada kami sehingga berjaya menimbulkan minat untuk mendalami karya sastera. Kepada teman-teman yang jauh di mata, semoga keperitan hidup Lahuma akan memberi semangat untuk kita terus berusaha.

Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Allah SWT…Ranjau Sepanjang Jalan

Setelah bertatih-tatih (masih lagi…) blog ini akhirnya mempamerkan dirinya. Terima kasih kepada saudari Zalila yang sungguh-sungguh melonjakkan semangat untuk terus berjalan. Terima kasih juga kepada Puan Ainon yang mengilhamkan ‘Bidasari’,  tatkala kali pertama bertemu di bengkel. Bukan secantik ‘Bidasari’ di dalam cerita melayu lama, tapi sekadar perumpaan kepada ‘Bidasari’ yang berkongsi nyawa dengan seekor ikan. Sama tetapi tidak serupa…

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!