Archive for the ‘TULISAN’ Category

Umpama satu perlawanan

Musim Piala Malaysia tahun ini sudah berakhir. Menang atau kalah, itu adalah resam pertandingan. Manisnya kemenangan jangan dibiarkan menguliti diri sehingga leka dengan perjuangan yang mendatang. Pahitnya kegagalan usah diserap sedalam-dalamnya agar semangat yang terlerai bisa ditaupkan kembali.

Misi utama di dalam sesuatu perlawanan bola sudah pasti untuk menjaringkan gol ke gawang lawan. Sukar atau mungkin juga mustahil untuk kita mengawal bola bersendirian dari kawasan gol sendiri sehingga menembusi benteng pihak lawan. Komunikasi yang berkesan di antara ahli pasukan merupakan rencah utama untuk merealisasikan kejayaan. Penjaga gol dan pemain pertahanan perlu segagah Si Badang untuk mengepung gawang dari dibolosi. Pemain pertahanan pula umpama Si Helang yang tajam matanya mengawasi setiap inci pergerakan lawan. Penyerang perlu licik mencari ruang dan peluang untuk melaksanakan sentuhan terakhir ke arah gawang- seterusnya? Nantikan sahaja sorakan atau keluhan daripada penyokong setia!

 

Perjalanan hidup ini seumpama bola. Laluannya perlu dikawal-ke kiri atau ke kanan, ke hadapan atau ke belakang, dan kadang-kala perlu juga diarahkan secara bersilang. Hidup bukan berseorangan, tetapi berkumpulan. Ya, kadang-kala kita perlu berseorangan, tetapi kebanyakkan masanya kita perlu berinteraksi dengan orang di sekeliling. Malah, perlu juga berinteraksi dengan alam, apatah lagi dengan Pencipta alam. Semuanya saling berkaitan.

 

Halangan dalam kehidupan? Seolah-olah seorang pemain yang mara untuk menyerang benteng pertahanan lawan.  Dia akan diasak, dikepung, ditolak dan menolak, dan dibentes- sebut sahaja apa jua cara pasti diambil oleh pertahanan lawan untuk mengekang kemaraan kita. Tiada bezanya dengan kehidupan realiti yang dibayangi dengan seribu satu halangan sebelum berjaya mencapai kejayaan. Kedua-duanya memerlukan semangat, strategi  dan tekad. Yakin untuk melepaskan satu sepakan padu ke pintu gol; yakin bahawa setiap halangan yang datang adalah ujian dari yang Maha Mengetahui.

 

Menang atau kalah bukanlah penamat kepada satu perjalanan. Ia mungkin  juga satu permulaan kepada sebuah kehidupan yang baharu.

 

Redha vs Pasrah

“Saya redha dengan apa yang terjadi.”
“Kami pasrah dengan musibah yang menimpa.”

 

Umumnya kedua-dua perkataan membawa kepada pengertian yang sama. Tetapi, Ustaz Muhammad Abdullah di dalam rancangan Tanyalah Ustaz di TV9, memberikan pandangan yang menarik tentang konsep redha dan pasrah.

 

Menurut beliau, redha membawa maksud keyakinan adanya hikmah di sebalik setiap dugaan, dan menghadapinya dengan sabar. Juga perlu berusaha memperbaiki keadaan ke arah yang lebih baik.

 

Pasrah pula keadaanya lebih kepada menghampiri rasa putus asa. Berserah tanpa berusaha kerana sudah yakin tiada apa-apa yang boleh dilakukan.

 

 


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Cerita tentang hati

Setiap manusia punya hati. Setiap hati terisi emosi yang silih berganti. Sedih, gembira, kecewa, teruja, sayang, benci, takut, marah- sekadar menyenaraikan apa yang terlintas di minda.

Palestin,

Kamu punyai hati yang putih.

Kami merasai kesedihan, kekecewaan, ketakutan dan kesusahan yang kamu alami, walaupun apa yang kami rasai hanyalah sekadar cebisan perasaan sebenarmu.

Kami bangga dengan semangatmu untuk terus berjuang mempertahankan negara yang dipenjarakan oleh manusia yang tiada jiwa.

Kami akan iringi perjuangmu dengan doa dan kami pasti Dia sentiasa merahmatimu.

Israel,

Kamu punyai hati yang hitam.

Kami merasai kekejamanmu, kejahatanmu, ketidakwarasan akalmu, walaupun apa yang kami rasai hanyalah sekadar cebisan daripada kebiadapanmu.

Kami benci dengan semangatmu untuk terus membuat satu demi satu penghinaan di bumi ini.

Kami akan iringi perjuanganmu dengan doa, supaya Dia membalasmu setimpal dengan kerosakan yang telah kamu lakukan.

Kata Hati

Mahu lihat ke hadapan

jangan lupa toleh ke kiri dan ke kanan

kerana kita bukan hidup berseorangan


Sesekali

perlu juga menoleh ke belakang

untuk membina kekuatan

dari pengalaman silam

MANISNYA KEGAGALAN

Kegagalan tidak bererti tewas, kegagalan bukanlah satu  penamat. Sebaliknya, kegagalan adalah permulaan untuk sesuatu yang lebih baik.

Kegagalan yang muncul di saat tangan menggapai puncak kejayaan, teramat mengecewakan. Serasa usaha dan tenaga yang dicurahkan ibarat mencurah air ke daun keladi. Hilang sudah puncak impian dilitupi awan hitam.

Namun, di celah-celah kegelapan itu, sebenarnya terselit segaris sinar yang memberikan pengharapan. Di sebalik kegagalan itu, ada kemanisan untuk di kecapi.

Manisnya apabila tersedar akan kekhilafan diri.

Manisnya apabila tersedar untuk mensyukuri nikmat yang melimpah ruah.

Manisnya apabila kembali bermuhasabah, mengakui kekerdilan diri di hadapan Illahi

Manisnya apabila tersedar diri tidak keseorangan mengharungi segala pancaroba.

Bersyukur sekiranya diuji dengan kegagalan, kerana di sebaliknya ada seribu kemanisan yang menanti.

WARNA HATI

Dalam hati ada rasa

Dalam rasa ada warna

Merah marah

Biru damai

Kuning ceria

Hijau segar

Jingga waspada

Putih tenang

Hitam duka

Kata hati

Kau adalah apa yang kau rasa

Kata akal

Jangan turutkan rasa

Nanti kau ditimpa bencana

Warna-warni rasa hati

Fitrah kurniaan Yang Abadi

 

19:21/041209