Kata Hati

Mahu lihat ke hadapan

jangan lupa toleh ke kiri dan ke kanan

kerana kita bukan hidup berseorangan


Sesekali

perlu juga menoleh ke belakang

untuk membina kekuatan

dari pengalaman silam

KEM PENULIS MUDA

“Untuk menjadi seorang penulis yang baik, jadilah seorang pembaca yang baik terlebih dahulu.”

Itulah di antara amanat yang diberikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, di dalam ucapan perasmian Kem Penulis Muda anjuran ILuvIslam.com pada 2 Mei 2010. Beliau sangat menggalakkan para peserta untuk mendalami bidang penulisan dan berusaha bersungguh-sungguh di dalam apa jua yang dilakukan kerana tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Datuk Hussamuddin turut berkongsi pengalaman keperitan hidup beliau sejak kecil, supaya dapat dijadikan iktibar oleh peserta sebagai pembakar semangat untuk terus maju.

Slot pertama iaitu Kaedah Penulisan Berita, disampaikan oleh Encik Nordin Mohamed, Ketua Pengarang Sinar Harian. Bermula dengan ungkapan, ‘Berita adalah cerita’, beliau telah membawa peserta menyusuri skop tugas dan kemahiran yang perlu ada pada seorang wartawan. Panduan menulis berita diberikan secara ringkas tetapi sarat dengan tips-tips yang dapat membantu para peserta. Semasa mengulas tentang etika kewartawanan, beliau turut menyelitkan beberapa potong ayat dari surah Al-Hujurat:

Wahai orang-orang yang beriman!Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukuman atau kebenaran) Allah dan RasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Ayat 1)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan sesuatu yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan. (Ayat 6)

Slot kedua diteruskan oleh Cik Darina Osman, Editor Rencana Sinar Harian, berkaitan Kaedah Penulisan Rencana. Peserta telah didedahkan dengan pelbagai jenis rencana yang boleh ditulis, misalnya, rencana profil, latar belakang, pendapat, ulasan dan banyak lagi. Cik darina turut memberi penerangan ringkas untuk merangka rencana; bagaimana untuk membuat pendahuluan dan penutup yang menarik, dan juga bahagian isi yang perlu saling bertautan.

Kaedah Penulisan Novel, oleh novelis terkenal, Puan Sri Diah, mengisi slot terakhir untuk Kem Penulis Muda. Pengurus Besar Oasis buku ini memulakan sesi dengan cara yang sangat santai dan menarik. Sekadar mendengar setiap patah perkataan yang diucapkan telah cukup menaikkan semangat para peserta untuk teus terpaku di tempat duduk masing-masing.

“Semua orang boleh menulis novel!” tegas Puan Sri Diah. Biarpun belajar di aliran sains semasa di bangku persekolahan, minat yang mendalam telah mendorong beliau untuk memilih bidang ini. Beliau turut menerapkan semangat sentiasa berfikiran positif, bercita-cita tinggi dan sentiasa ingin belajar bagi mereka yang ingin mendalami dunia penulisan. Hati juga terkesan mendengarkan pengalaman beliau berguru dengan SN Shahnon Ahmad semasa menuntut di universiti dahulu. Para peserta cukup bertuah dapat mendengar pelbagai pengalaman menarik yang telah dilalui oleh Puan Sri Diah untuk merealisasikan impiannya menjadi seorang penulis yang mapan. Di penghujung sesi, beliau menerangkan teknik peta minda yang boleh diamalkan  sebelum mula menulis novel. Teknik ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas dan seterusnya membantu mengelakkan kekeliruan semasa proses menulis.

Tahniah diucapkan kepada Presiden ILuvIslam.com, saudara Mohd Nurul Imran Koyube, Pengarah Program, Ustaz Muhammad Rashidi Abdul Wahab dan kepada semua krew ILuVIslam.com yang telah menjayakan program ini. Terima kasih tidak terhingga juga buat ketiga-tiga penceramah yang sudi berkongsi ilmu bersama para peserta.

Semoga ILuvIslam.com sudi mengadakan lagi program bermanfaat seperti ini. Cuma diharapkan untuk program seterusnya, masa yang diperuntukan bagi setiap sesi dapat ditambah, ataupun hanya menumpukan kepada satu cabang penulisan sahaja pada satu-satu masa. Dengan ini, penceramah dan peserta dapat berbincang dengan lebih mendalam lagi.

Para peserta bersama Puan Sri Diah

Sumber gambar: ILuvIslam.com

MAHU SIHAT?

Sudah lama tidak ke Taman Tasik Perdana untuk beriadah. Taman ini merupakan salah satu kawasan tumpuan untuk mereka yang ingin beriadah, merehatkan minda atau pun bersantai bersama keluarga. Deretan kereta yang memenuhi kawasan letak kereta dan juga di bahagian kiri dan kanan jalan membuktikan bahawa ramai rakyat Malaysia yang memilih untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Ternyata setiap ceruk kawasan ini dipenuhi pengunjung. Ada yang berjoging dan ada  yang sekadar berjalan pantas. Ada yang berseorangan, ada yang berdua, berkumpulan, malah ada juga bersenam bersama-sama ahli keluarga.

Bagi anak-anak kecil pula, taman permainan merupakan syurga buat mereka. Jerit-pekik dan hilai tawa mereka memenuhi segenap ruang. Ada yang menangis kerana berebut tempat bermain dan ada juga yang menangis kerana terjatuh. Tidak kurang pula ibu bapa yang sibuk mengabdikan foto anak-anak kesayangan yang lincah bermain.

Gembira bila giliran sudah tiba...

Alat-alatan untuk bersenam seperti yang ada di gimnasium turut disediakan walaupun dalam bentuk yang lebih ringkas. Seronok juga menggunakan alatan sebegini memandangkan tidak ramai yang berkesempatan dan berkemampuan untuk pergi ke gimnasium. Memandangkan alatannya tidak banyak, masing-masing perlulah bersabar untuk menunggu giliran. Ada juga yang seperti tidak mahu memberi laluan kepada pengguna lain. Mungkin kerana begitu teruja untuk bersenam. Kadang-kala sikap beginilah yang menimbulkan suasana yang kurang menyenangkan.

Macam-macam ada!

Di padang pula lain ceritanya. Kawasan berumput yang luas  ini digunakan untuk pelbagai aktiviti. Ramai yang mengambil peluang untuk bermain badminton, biarpun tiada garis sempadan untuk mengira mata! Sekadar memukul bulu tangkis dan berlari ke sana sini sudah cukup untuk mengeluarkan peluh dan melepaskan tekanan. Bermain bola sepak bersama anak-anak juga antara aktiviti kegemaran di padang ini.

Ada satu perkara yang paling menarik hati saya di sana. Ada sebuah keluarga, ayah, ibu dan anak perempuannya duduk di tembok di tepi padang. Ayahnya berkerusi roda dan mereka hanya memerhatikan gelagat pengunjung lain. Tidak lama kemudian, anak perempuan itu membantu ayahnya untuk bangun. Perlahan-lahan dia memimpin ayahnya yang berkaki ayam, untuk berjalan di atas rumput di padang. Mereka memilih bahagian padang yang disimbahi cahaya mentari. Sesekali mereka berhenti dan kemudian terus berjalan lagi.

Situasi ini mengingatkan saya kepada arwah nenek saya yang juga pernah mengalami masalah kesukaran untuk berjalan kerana kakinya lemah. Setiap pagi dia meminta pakcik saya untuk memimpinnya berjalan di atas rumput, katanya untuk menguatkan kaki. Saya berharap agar saudari di dalam cerita di atas akan terus membantu ayahnya dan semoga Yang Maha Berkuasa akan memberi kekuatan buat mereka.

Ceria!

Dua jam beriadah di TamanTasik Perdana sudah cukup untuk membuatkan kami kebasahan dalam peluh. Seronok juga dapat menyertai warga kota yang memilih gaya hidup yang sihat. Semoga usaha ini akan berterusan. Mari kita bersenam tidak kira di mana kita berada!

MANIKAM KALBU

Ziryab dan Manikam Kalbu merupakan dua orang pemuda dari zaman yang berbeza, namun mempunyai minat yang sama, iaitu menghasilkan busana yang mencerminkan keindahan tradisi Melayu dan memenuhi tuntutan syariah.

ZIRYAB

Mewarisi bakat neneknya untuk menjahit dan mereka busana, Ziryab tekad memasuki aliran fesyen dan rekaan di sekolah, meskipun dipandang sinis oleh rakan-rakannya. Dugaan melanda hidupnya apabila nenek yang menjadi tempat menumpang kasih mengalami penyakit Alzheimer.

Namun, kehadiran Dr. Basri dan Dr. Faizah, bukan hanya sekadar jiran, malah sebagai keluarga angkat, telah memberikan satu kehidupan yang baru buat Ziryab dan neneknya. Begitu juga dengan kehadiran seekor kucing misteri yang menjadi teman akrab neneknya di saat-saat dia tidak mampu lagi mengenali sesiapun pun termasuk Ziryab, satu-satu warisnya yang masih ada. Hubungan baik yang terjalin antara Ziryab dengan Cikgu Natasya dan juga hubungan dingin antara Ziryab dengan rakannya Ahdaf, telah menjerat Ziryab sehingga dia telah menjadi mangsa fitnah di sekolah. Meskipun semangat Ziryab direnggut oleh pemergian nenek untuk selama-lamanya, dia tekad untuk bangun semula dan akhirnya berjaya di dalam pertandingan seni reka fesyen dan mendapat tajaan untuk belajar di luar negara.

MANIKAM KALBU

Manikam Kalbu, merupakan anak tunggal Melekek Sukma, seorang biti perwara di istana Melaka, di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Syah. Walaupun menerima pelbagai rintangan terutamanya dari golongan bangsawan di istana, dia akhirnya berjaya diangkat menjadi jurubusana istana, bahkan dia dan ibunya turut dimerdekakan dan juga dihadiahkan seekor kucing Madura kepunyaan sultan.

Manikam Kalbu kemudiannya merantau ke Acheh untuk mendalami dengan lebih mendalam lagi mengenai busana Melayu yang memenuhi tuntutan agama Islam. Kemuncak kejayaan Manikam Kalbu ialah apabila dia berjaya menghasilkan tenunan pada sapu tangan dan sepasang sepatu bagi menjawab kemusykilan-kemusykilan yang diberikan oleh Maharaja China, ketika menemani Sultan Muhammad Syah ke sana untuk memohon perlindungan daripada serangan Siam.

DARI KACA MATA

Secara keseluruhan saya menyukai novel ini kerana:

1.  Gaya bahasa yang indah

Inilah faktor utama yang berjaya mencuri minat saya untuk membaca   novel ini sehingga ke ayat terakhir.

2.  Jalan cerita yang menarik

Pengakhiran bagi setiap bab menimbulkan suspen sehingga menyebabkan saya sangat teruja untuk mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya. Gaya santai penulis juga menarik minat untuk terus membaca.

3.   Sarat dengan informasi

Sejarah mengenai busana Melayu seperti jenis-jenis pakaian, jenis-jenis kain, teknik jahitan dan pelbagai lagi informasi yang jarang-jarang diketahui telah dihidangkan oleh penulis. Begitu juga ciri-ciri busana yang dituntut oleh hukum syarak seperti yang digambarkan oleh watak Tuan Guru Nuh Ha Mim diolah dengan gaya yang menarik.

UNIK

Walaupun informasi mengenai jenis-jenis kain yang terlalu sarat sehingga kadang-kala mengganggu konsentrasi saya, namun, novel hasil garapan penulis terkenal, Faisal Tehrani ini merupakan satu naskhah yang segar dan mempunyai keunikan yang tersendiri.

Maka sudah sewajarnya Manikam Kalbu diangkat menjadi salah satu novel yang berjaya memenangi anugerah di malam Hadiah Sastera Perdana Malaysia(HSPM) baru-baru ini.

PUCUK DICITA ULAM MENDATANG

Undangan kakak saudara untuk menemaninya ke Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke-18 di Hotel Legend, Kuala Lumpur, saya terima dengan perasaan bercampur-baur. Pertamanya, sudah tentu teruja kerana tidak pernah menyangka berpeluang ke majlis seperti ini,dan keduanya berasa sedikit was-was kerana merasakan keterbatasan diri akan merumitkan situasi di sana nanti. Namun, merasakan peluang seperti ini hadir hanya sekali, saya tekad untuk menghadirkan diri.

Hujan lebat yang turun mencurah-curah lebih kurang satu jam sebelum waktu bertolak menerbitkan kegundahan yang menggunung. Lebih-lebih lagi apabila

Juadah yang memikat rasa

mengenangkan dua perkara yang amat sinonim dengan hujan lebat di Kuala Lumpur ini; pertama, kesesakan lalu lintas dan kedua, banjir.  Walaupun begitu, kesyukuran dipanjatkan kepada-Nya kerana tatkala kaki melangkah keluar dari rumah, hanya gerimis sahaja yang yang masih tegar membasahi bumi.

Mujur keadaan lalu lintas berjalan lancar. Namun, puas juga kami berputar-putar mencari parkir kereta, tetapi akhirnya kami dapat bernafas lega sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam dewan. Setelah ketibaan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, hidangan malam dihidangkan. Kami menjamu selera sambil diiringi dendangan merdu lagu-lagu tradisional  oleh Roslan Madun dan seorang penyanyi wanita dan juga tiupan seruling oleh Mohar dari kumpulan MOHRAM. Hidangan yang enak ditambah pula dengan nyanyian lagu asli yang menggamit halwa telinga membuatkan kami lebih berselera.

Berkongsi kegembiraan bersama-sama Puan Nisah Haron

Di celah-celah hadirin yang memenuhi ruang dewan itu, saya teruja apabila pandangan tertumpah pada figura yang saya minati iaitu Prof. Madya Dr.Lim Swee Tin, sementelah kala ini saya sedang membaca karya beliau yang bertajuk ‘Mendekati Seni Penulisan Kreatif’.  Perasaan bertambah teruja melihat penulis-penulis terkenal naik ke pentas seorang demi seorang untuk menerima hadiah di atas hasil karya masing-masing. SN A.Samad Said, Siti Jasmina Ibrahim, Faisal Tehrani dan ramai lagi dapat disaksikan di hadapan mata. Namun, yang paling membanggakan ialah kehadiran dua wanita penggerak PEN iaitu Puan Mahaya dan Puan Nisah Haron yang turut mendapat pengiktirafan di dalam majlis ini. Sesungguhnya kemenangan mereka ibarat api yang menyemarakkan lagi misi kami untuk terus menulis.

Bagi saya, peluang bertemu para penulis yang hebat ini bukan sekadar teruja kerana bertemu penulis terkenal, tetapi lebih kepada keterujaan untuk meminjam semangat mereka yang tidak pernah jemu berusaha mencari ilham untuk menghasilkan karya yang terbaik. Saya turut mengagumi perjuangan mereka untuk berkarya tanpa mengira batasan usia. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang.

Bersama Masliya, penulis berbakat besar

Ole-ole kecil tanda kenangan di HSPM

*Kredit gambar buat Zalila Isa

APA ITU LIPOMA?

Merujuk kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu(PRPM) DBP, lipoma bermaksud tumor benigna, yang biasanya terdiri daripada sel-sel lemak yang matang. Tumor ini terbentuk diantara lapisan bawah kulit dan lapisan otot.

Lipoma selalunya terbentuk di leher, bahu, bahagian belakang badan, lengan dan peha. Ciri-ciri lipoma ialah:

  • lembut bila disentuh
  • mudah digerakkan dengan sentuhan
  • saiznya kecil, selalunya berdiameter kurang daripada 5cm, namun adakalanya boleh membesar mencecah diameter 10cm
  • kebiasaanya tidak sakit, tetapi akan menyebabkan kesakitan sekiranya lipoma itu membesar dan menekan saraf berdekatan atau lipoma itu mengandungi banyak salur darah

 

Lipoma di belakang leher

Sumber gambar: http://emedicine.medscape.com/article/1294801-overview

Lipoma membesar perlahan-lahan. Oleh sebab itu, lipoma selalunya disedari hanya selepas beberapa tahun ia terbentuk.

Punca sebenar pembentukan lipoma adalah tidak jelas.

Pesakit kebiasaannya bertemu doktor setelah menyedari kehadiran bonjolan di bahagian badan mereka. Selalunya, dignosis bagi lipoma dibuat berdasarkan pemeriksaan fizikal ke atas bonjolan yang ada. Sekiranya ada keraguan, barulah sampel biopsi akan diambil.

Lazimnya tiada rawatan perlu diberikan kerana lipoma tidak mendatangkan kemudaratan. Namun, rawatan perlu diberikan sekiranya lipoma membesar sehingga mengganggu pergerakan pesakit, menyebabkan kesakitan ataupun untuk tujuan kosmetik.

Antara rawatan yang diberikan ialah:

  • suntikan steroid untuk mengecutkan lipoma
  • sedutan lemak (liposuction)
  • pembuangan secara pembedahan

Ada juga bonjolan mirip seperti lipoma, tetapi sebenarnya adalah satu bentuk tumor yang dipanggil liposarcoma. Tumor ini membesar dengan pantas, tidak bergerak apabila disentuh dan selalunya menyebabkan kesakitan. Pemeriksaan lanjut seperti biopsi dan imbasan CT perlu dilakukan untuk mengesahkan diagnosis.

Rujukan untuk artikel ini diambil di http://www.mayoclinic.com

MEMORI TERINDAH

Bermula satu perjalanan

 

 

Hari persekolahan tahun 2010 sudah bermula semalam. Ingin meminjam semangat adik-adik yang baru sahaja memulakan langkah untuk terus menerokai alam persekolahan yang semakin mencabar.

Pengalaman indah di sekolah rendah akan sentiasa dikenang. Bermain batu seremban dan tali getah sebelum sesi persekolahan bermula, menjamu selera dengan nasi lemak atau mi goreng yang hanya berharga 30 sen, menyertai sukan sekolah dan mendapat hadiah bekas plastik pelbagai warna, memberikan hadiah sekotak tisu sempena Hari Guru kepada guru kelas, didenda oleh cikgu matematik dan mengharungi banjir  di sekolah hanyalah secebis daripada sejuta kenangan yang tercipta di sana.

Terima kasih kepada guru-guru yang telah berjaya mendidik saya. Terima kasih kepada rakan-rakan yang telah mewarnai alam persekolahan saya dengan warna-warna yang ceria.

Buat semua rakan-rakan yang bergelar guru, selamat berjuang. Anda adalah lilin yang sentiasa menyala dan membara!