Jalan-jalan, cari cerita

Cerita ini berlaku pada hari Ahad yang lalu…

 

Cerita pertama:

Perjalanan yang tidak dirancang ini membuatkan adrenalin saya naik mencanak-canak! Bukan kerana pening untuk memilih pakaian yang harus dipakai (mungkin juga ada sedikit pengaruhnya), tetapi kerana keterujaan untuk berbincang tentang peluang yang datang secara tiba-tiba. Peluang yang tidak mampu dilepaskan oleh penulis mentah seperti saya. Peluang untuk mengembangkan bakat yang mungkin ada. Terima kasih Kak Bayan.

 

Cerita kedua:

Pertemuan di Universiti Malaya(UM). Sepuluh tahun yang lalu saya hadir ke UM untuk bertemu teman-teman yang sedang mengikuti kursus persediaan ke Jepun. Hari ini saya ingin bertemu dengan teman yang baharu pula. Pertemuan di ruang makan berdekatan Bangunan Peperiksaan.

 

Cerita ketiga:

Teman baharu saya. Seseorang yang aktif menulis blog dan berkarya. Seseorang yang mempunyai ketabahan yang luar biasa. Seseorang yang memasuki senarai sumber inspirasi buat saya. Kak Water Lily, semoga diberikan kesihatan yang terbaik buat kamu.

 

Cerita keempat:

Bertemu Kak Norziati yang sentiasa tenang dan menyenangkan di kedai makan yang sering disebut-sebut oleh Kak Bayan, kerana  minuman istimewanya, ice-blended limau nipis (jika tidak silap begitulah namanya). Ya, kesedapan minuman ini tidak boleh disangkal lagi (walaupun hanya dengan satu sedutan). Mungkin di kunjungan seterusnya saya perlu cuba lebih lagi.

 

Cerita kelima:

Buku baharu saya. Tiga  Kali Seminggu hasil karya terbaru Dr. Faisal Tehrani. Terima kasih Kak Bayan atas pemberiannya.

 

Cerita di sepanjang perjalanan:

Perjalanan bersama-sama Kak Bayan tidak pernah sunyi dari cerita. Bermacam-macam perkara kami bualkan. Bukan tentang kisah dunia seperti pendedahan Wikileaks atau situasi tegang di antara Korea Utara dan Korea Selatan. Hanya cerita biasa seputar dunia biasa kami. Cerita-cerita yang pelbagai rasa. Rasa yang manis untuk dikenang-kenang. Rasa yang pahit  dijadikan pengajaran. Rasa masin dan masam sebagai pelengkap kehidupan.

 

Semoga bertemu lagi di perjalanan yang baharu pula.

Selamat Tahun Baru 1432 Hijrah


Umpama satu perlawanan

Musim Piala Malaysia tahun ini sudah berakhir. Menang atau kalah, itu adalah resam pertandingan. Manisnya kemenangan jangan dibiarkan menguliti diri sehingga leka dengan perjuangan yang mendatang. Pahitnya kegagalan usah diserap sedalam-dalamnya agar semangat yang terlerai bisa ditaupkan kembali.

Misi utama di dalam sesuatu perlawanan bola sudah pasti untuk menjaringkan gol ke gawang lawan. Sukar atau mungkin juga mustahil untuk kita mengawal bola bersendirian dari kawasan gol sendiri sehingga menembusi benteng pihak lawan. Komunikasi yang berkesan di antara ahli pasukan merupakan rencah utama untuk merealisasikan kejayaan. Penjaga gol dan pemain pertahanan perlu segagah Si Badang untuk mengepung gawang dari dibolosi. Pemain pertahanan pula umpama Si Helang yang tajam matanya mengawasi setiap inci pergerakan lawan. Penyerang perlu licik mencari ruang dan peluang untuk melaksanakan sentuhan terakhir ke arah gawang- seterusnya? Nantikan sahaja sorakan atau keluhan daripada penyokong setia!

 

Perjalanan hidup ini seumpama bola. Laluannya perlu dikawal-ke kiri atau ke kanan, ke hadapan atau ke belakang, dan kadang-kala perlu juga diarahkan secara bersilang. Hidup bukan berseorangan, tetapi berkumpulan. Ya, kadang-kala kita perlu berseorangan, tetapi kebanyakkan masanya kita perlu berinteraksi dengan orang di sekeliling. Malah, perlu juga berinteraksi dengan alam, apatah lagi dengan Pencipta alam. Semuanya saling berkaitan.

 

Halangan dalam kehidupan? Seolah-olah seorang pemain yang mara untuk menyerang benteng pertahanan lawan.  Dia akan diasak, dikepung, ditolak dan menolak, dan dibentes- sebut sahaja apa jua cara pasti diambil oleh pertahanan lawan untuk mengekang kemaraan kita. Tiada bezanya dengan kehidupan realiti yang dibayangi dengan seribu satu halangan sebelum berjaya mencapai kejayaan. Kedua-duanya memerlukan semangat, strategi  dan tekad. Yakin untuk melepaskan satu sepakan padu ke pintu gol; yakin bahawa setiap halangan yang datang adalah ujian dari yang Maha Mengetahui.

 

Menang atau kalah bukanlah penamat kepada satu perjalanan. Ia mungkin  juga satu permulaan kepada sebuah kehidupan yang baharu.

 

Redha vs Pasrah

“Saya redha dengan apa yang terjadi.”
“Kami pasrah dengan musibah yang menimpa.”

 

Umumnya kedua-dua perkataan membawa kepada pengertian yang sama. Tetapi, Ustaz Muhammad Abdullah di dalam rancangan Tanyalah Ustaz di TV9, memberikan pandangan yang menarik tentang konsep redha dan pasrah.

 

Menurut beliau, redha membawa maksud keyakinan adanya hikmah di sebalik setiap dugaan, dan menghadapinya dengan sabar. Juga perlu berusaha memperbaiki keadaan ke arah yang lebih baik.

 

Pasrah pula keadaanya lebih kepada menghampiri rasa putus asa. Berserah tanpa berusaha kerana sudah yakin tiada apa-apa yang boleh dilakukan.

 

 


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

LASKAR PELANGI

Ada apa dengan Laskar Pelangi? Filem yang diadaptasi daripada novel hasil karya penulis Indonesia yang terkenal, Andrea Hirata ini, memaparkan kisah anak-anak miskin di desa Belitong, yang berjuang untuk mengutip ilmu.

Kemiskinan hidup hingga membuatkan anak-anak tercicir dari persekolahan adalah satu realiti, bukan hanya di dalam filem. Malah di Malaysia, masih ramai lagi yang tidak berpeluang menimba ilmu. Ada yang perlu keluar rumah seawal jam 5 pagi untuk menaiki keretapi untuk ke sekolah,  bergadai nyawa menaiki sampan dan menghadapi pelbagai kesukaran lagi. Moga-moga ketabahan mereka ini akan dibayar dengan kecemerlangan di dalam pelajaran.

Laskar Pelangi mewakili anak-anak yang gigih, mengayuh basikal berbatu-batu jauhnya, perlu pula menunggu buaya melintas sebelum dapat meneruskan perjalanan (bahagian yang saya fikir sangat menarik), tidak berkasut, peralatan menulis setakat apa yang ada sahaja, dan kapur menulis pula mujur diberi secara percuma oleh pekedai di pekan. Sekolah mereka, Sekolah Rendah Muhammdiyah sudah uzur (perlu ditahan dengan kayu balak supaya tidak roboh), banjir apabila  hujan lebat (turut menjadi tempat perlindungan kambing), dan persekitaran pembelajaran mereka terlalu sederhana.

Filem ini sarat dengan pengajaran. Lihat sahaja pengorbanan Lintang terhadap keluarganya, juga pengorbanan Ibu Mus untuk terus mengajar di situ (walaupun mendapat tawaran mengajar di tempat yang jauh lebih baik) dan tekad Pak Harfan untuk mempertahankan sekolah itu. Begitu juga dengan semangat setiakawan dan saling mendorong antara satu sama lain telah menyaksikan kejayaan yang dikecapi oleh anak-anak ini, walaupun sering dipandang sinis oleh orang lain.

Tidak perlu aksi lasak dan ganas, motor atau kereta yang besar-besar,  rumah yang tersergam indah bak istana, pakaian yang berjenama,  dan juga pelakon wanita yang menggoda. Itu semua tidak perlu ada, kerana Laskar Pelangi  penuh dengan kesederhanaan yang mampu memberi impak yang besar terhadap penontonnya.  Semoga lebih banyak filem seperti ini akan dihasilkan.

Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya-LASKAR PELANGI